Penting! Panduan dan Peta Laluan bagi peserta Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos

Artikel Oleh: hermansamsudeen
“Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur (Sila Klik Gambar Untuk Melihat Peta Laluan) bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri selepas Himpunan Bersih dan PPSMI. Uniknya pada hari yang sama akan ada satu lagi himpunan lain yang Menyokong ISA.
Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi akan hadir, pelbagai agama dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Kerajaan Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.
Perkara yang perlu anda bawa/sediakan
1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
2. Duit-maksimum RM 100 sahaja.
3. Memakai pakaian yang sopan-Baju berwarna Hitam/Merah-Sebaiknya ada logo Mansuhkan ISA
4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
5. Aksesori kempen-Button, riben, topi, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Mansuhkan ISA boleh digunakan.
6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis N100 Respirator, N95 Respirator dan Surgical facemask untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.
Perkara yang tidak dibenarkan
1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
3. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan.
4. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal untuk memudahkan pergerakkan.
5. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
6. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan kempen mansuhkan ISA
7. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
8. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan Kempen Mansuhkan ISA tidak dibenarkan.
9. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
10. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
11. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
12. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
13. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
14. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.
Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan
1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
8. Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.
9. Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.
10. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan; Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara.
11. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
12. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
13. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
14. Jangan memakai baju Mansuhkan ISA sebelum perhimpunan bermula.
Semasa perhimpunan dan perarakan
1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara) dan tunggu arahan dari Field Commander yang dilantik.
2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada Field Commander.
3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Field Commander.
4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
16. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com untuk rekod dan disiarkan.
17. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.
Selepas perhimpunan
1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila datang ke Pejabat Agung PAS untuk membuat laporan dengan Unit Amal bertugas.
3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan maklumat di Pejabat Agung PAS atau ke Balai Polis berkaitan untuk bebaskan mereka.
4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com.
Apa anda perlu buat jika kumpulan Pro-ISA buat Provokasi
1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan Field Commander Unit Amal.
2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
3. Jangan hampiri mereka.
4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.
Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan
1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
3. Duduk jika pimpinan arahkan.
4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.
5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
6. Ambil gambar mereka jika sempat.
7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.
Apa yang anda perlu buat jika ditahan
1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.
8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.
10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.
Apa yang anda buat selepas dibebaskan
1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.
Perhatian!
1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini.
Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan. Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak Kerajaan dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan negara kita. Ingat, Himpunan Bersih dan PPSMI berjaya menyedarkan Kerajaan kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk memansuhkan ISA. Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Field Commander atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini. Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.
Berikut adalah Peta laluan yang dipersetujui oleh GMI:

Mahathir mudah lupa…
Selama lima minit, sekumpulan enam orang yang menamakan diri mereka ‘Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia’, membawa kain rentang yang tertulis ‘Mahathir mudah lupa’ di depan kompleks mahkamah Jalan Duta, hari ini.
Kain rentang tersebut, yang merujuk kepada sajak Dr Mahathir ‘Melayu mudah lupa’ yang dideklamasikan beliau sewaktu perhimpunan agung Umno 2001 – menggelikan hati orang ramai yang lalu-lalang di situ, termasuk para peguam.
Jurucakap kumpulan tersebut, Mohd Yunus Ali membaca satu kenyataan yang menyebut bahawa Dr Mahathir mendakwa beliau tidak ingat atau terlupa maklumat ketika beliau berkuasa, ketika disoal peguam dan anggota suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.
“Beliau juga menafikan yang beliau kenal peguam Datuk VK Lingam ketika berkuasa,” kata Mohd Yunus.
Kes saman Mirzan
Sambil mempertikaikan perkara itu, Mohd Yunus (foto) berkata, laporan media pada tahun 1999 menunjukkan kemungkinan wujud hubungan antara keluarga Dr Mahathir dengan Lingam.
Mohd Yunus kemudiannya mengedarkan kepada pemberita dua laporan media pada tahun 1999, yang melaporkan bahawa anak Dr Mahathir, Datuk Mirzan, telah menggunakan khidmat guaman Lingam untuk mewakilinya dalam dua kes saman fitnah.
“Dr Mahathir mempunyai ingatan yang terpilih…kita hadir di sini untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak lupa dan beliau (juga) tidak boleh lupa,” kata Mohd Yunus.
Di samping itu, kata Mohd Yunus lagi, rakyat Malaysia tidak lupa dakwaan rasuah, salahguna kuasa, tekanan terhadap hak asasi manusia dan mengekang kebebasan akhbar sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.
Pada 4 Januari lalu, kumpulan yang sama telah menghantar cenderahati simbolik berupa dua biji bantal kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya (foto).
Keterangan Dr M
Antara lain, suruhanjaya diraja itu menyiasat kebenaran kandungan klip video Lingam itu, yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai bukti wujudkan campurtangan dalam pelantikan hakim.
Bila ditanya oleh suruhanjaya tersebut semalam berhubung pelantikan hakim-hakim, Dr Mahathir menjawab beberapa kali bahawa beliau tidak ingat atau tidak tahu mengenai perkara-perkara tertentu.
Dr Mahathir juga berkata, beliau hanya mengenali Lingam selepas bersara daripada jawatan perdana menteri pada tahun 2003.
Kenyataan Dr Mahathir semalam juga merupakan kali pertama beliau memberi keterangan berhubung tindakan-tindakannya sewaktu menjadi perdana menteri, di mahkamah terbuka.
Tunang: Teoh, selamat tinggal sayang
Berikut teks luahan hati Soh Sher Wei kepada tunangnya Teoh Beng Hock di upacara penghormatan terakhir kepada setiausaha politik exco kerajaan Selangor pada 20 Julai 2009.
Ia diterbitkan semula untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tidak dapat hadir di Alor Gajah, Melaka.
![]() |
Beng Hock, kau tiba-tiba pergi tanpa sebarang pesan.
Kau kata, masih banyak yang kita ingin lakukan bersama.
Banyak lagi tempat yang sepatutnya kita kunjungi
Kau kata akan menemaniku sepanjang perjalanan hidup ini
Tapi apa yang harus kulakukan sekarang?
Bagaimana dapat kita bertemu lagi?
Kau sentiasa di ingatanku
Aku selalu mengingatimu… aku mahu dikau kembali, muncul semula di pangkuanku
Dalam beberapa hari ini, aku sentiasa menantimu
Tetapi ia sungguh mengecewakan
Aku hanya ingin tahu sama ada kau selamat, apakah kau menderita?
Jangan biarkan aku terus menunggu? Aku mahu menemuimu sekali lagi. Cukuplah walau sekali.
Bila titisan air mataku tidak dapat menghidupkan dirimu
Aku terpaksa menerima hakikat kau telah pergi buat selama-lamanya
Hari ini, aku masih perlu mengucapkan selamat tinggal
Aku berjanji, aku akan jalani kehidupan seadanya.
Tetapi, kau mesti berjanji sentiasa di sisiku, dan kita bersama-sama membesarkan (bayi ini).
Beng Hock, perjalanan kita berdua dalam hidup ini sudah berakhir.
Tetapi aku berharap, kalaulah ada kehidupan selepas ini, aku amat berharap kita dapat bersama-sama meneruskan perjalanan kita.
Kekasihku, semoga dikau tenang di alam abadi.
Menzahirkan pandangan
Salam Reformasi, Salam Perjuangan.
Kali nih gua nak menulis mengenai komentar dalam ruangan Forum pembaca dalam akhbar orang Melayu, Utusan Malaysia pada 21 Julai 2009. Memang dah agak lama gua tidak membaca akhbar meloyakan nih tetapi terpandang sisipan forum nih masa gua sedang minum petang di sebuah warung di Bukit Naning. Lalu, gua rasa agak terkilan melihat minda orang Melayu yang dangkal dan penuh rasis.
Isu pertama yang ingin gua zahirkan pendapat mengenai surat pembaca bertajuk Iktibar Suruhanjaya Ketuk – Ketampi tulisan Abu Nawas dan Jika Teoh itu Melayu? Tulisan Abo. Isu seterusnya mengenai luahan anak jati Manek Urai.
Mengenai isu penubuhan Suruhanjaya ini, penulis ada menyebut dalam artikelnya agar kerajaan tidak tunduk kepada desakan menubuhkan Suruhanjaya bagi menyiasat tragedy Teoh ini. Beliau mengambil iktibar dari kes ketuk – ketampi wanita Cina dulu. Kemudian, menulis pula mengenai kredibiliti PDRM, SPRM dan sebagainya dalam menyiasat perkara ini.
Gua tak menafikan dalam isu ketuk – ketampi dulu ada kekhilafan fakta berlaku. Memang sesuatu yang amat memalukan sekali bagi imej Negara. Tetapi, dalam hal ini, penubuhan satu Suruhanjaya bebas memang amat diperlukan setelah kita banyak mendengar, membaca dan melihat tragedy demi tragedy tahanan mati. Kalau masih segar diingatan, Kugan mati di dalam tahanan Polis. Hari nih kita menyaksikan pula Teoh mati dalam tahanan SPRM. Tak kira apa pun sebab musababnya. Mati terjatuh dari tingkat 14 dengan seluar yang terkoyak menimbulkan 1001 macam tanda Tanya. Yang amat menarik perhatian gua, bagaimana seorang saksi boleh mati dalam tahanan agensi penguatkuasaan undang – undang Negara? Hal ini perlu disiasat. Sudah terlalu banyak kes. Walau apa pun SPRM perlu bertanggungjawab. Matinya Teoh dalam bangunan SPRM. Matinya Teoh selepas disoal siasat. Dengan keadaan sebuah pejabat SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA. Sebuah agensi besar yang sering menyiasat orang boleh tidak mempunyai kamera litar tertutup? Kita tidak mahu berlaku satu lagi tragedy. Mungkin selepas ini datang dari kalangan Melayu pula. Cukup 3 kaum terbesar Malaysia. Baru 1 Malaysia. Juga, sebelum tragedy Teoh berlaku, sudah keluar dalam akhbar seorang Pekerja PBT di selatan Tanahair yang dipukul oleh Pegawai Penyiasat SPRM. Ini tuduhan serius. Perlukan siasatan menyeluruh bukan sahaja dari PDRM.
Penubuhan Suruhanjaya ini perlu dengan tujuan bukan sahaja untuk menyiasat tragedy Teoh tetapi harus menyiasat setiap inci kes2 tahanan mati dalam simpanan agensi penguatkuasaan. Bagaimana harus keyakinan rakyat dapat dipulihkan apabila semakin kerap kita dengar tahanan mati atau disiksa semasa ditahan. Kita bukan Negara Firaun. Kita ada perlembagaan. Kita menyanjungi konsep “Rule of Law”. Soal siasat harus berlaku dengan keadaan yang tidak memaksa. Bukan dilaksanakan dengan cara menyeksa. Kalau benar2 PDRM hebat dan dapat menyakini orang ramai kenapa sehingga hari nih penculik dan pembunuh kanak2 yang pernah menggemparkan Negara satu masa dulu masih belum tertangkap? Kenapa semakin banyak berleluasa jenayah dan ah long2? Kenapa SPRM hanya ingin menyiasat kes2 terpencil rasuah bernilai RM 2,000 sahaja sedangkan yang bernilai ratusan juta tidak disiasat? Kenapa SPRM hanya mengambil tindakan terhadap pekerja Pihak Berkuasa Tempatan sahaja sedangkan Ketua Menteri yang telah diakui bersalah oleh Lembaga Disiplin partinya sendiri, terus dibenar menjadi Ketua Menteri tanpa ada siasatan? Inikah keyakinan dan kredibiliti agensi penguatkuasaan Undang – undang Negara. Standard apa ini?
Kemudian, tulisan Jika Teoh itu Melayu? Hadoi, ABO, lu tak faham ker? Ini bukan soal Melayu, Cina, India, Punjadi, Bangladesh, Myanmar. Ini bukan soal rasis. Kamu tidak faham ke? Ini soal nyawa. SOAL NYAWA. Kalau kamu mati sebegitu rupa, kamu ingat keluarga akan berdiam diri sahaja ke? Memang malang kalau keluarga kamu begitu dayus untuk bersuara. Ini soal kemanusiaan. Soal bagaimana seorang saksi boleh ditemui mati terjatuh dari tingkat 14. Sama seperti Kugan dulu. Jangan diasak minda kita dengan pemikiran dangkal dan penuh emosi rasisma. Jangan dibiar kita terus menerus menjadi miskin minda. Memang Melayu itu mudah lupa. Harus diingat ABO, hak – hak orang Melayu banyak diperjuangkan oleh pembangkang Cuma bukan atas nama Melayu tapi atas nama Malaysia. Atas nama rakyat.
DAP tidak mempolitikkan isu ini. DAP hanya mewakili ahlinya yang ditemui mati sebegini rupa. Ibu mana yang tidak hiba, tunang mana yang tidah sedih, teman mana yang tidak menitiskan airmata melihat teman itu mati sebegitu rupa?
Buka minda, jangan rasis. Rasis sudah lama berkubur. Kita hidup dalam dunia yang semakin mencabar dan meluas. Melayu, Cina, India, Bajau bukan satu yang penting. Yang penting adalah jati diri dan semangat menghormati antara satu sama lain. Kalau terus rasis, Malaysia tidak akan kemana – mana. Melayu khasnya akan terus melukut di tepi gantang. Melayu tidak mampu berfikir di luar kotak, lalu menghalalkan saja setiap inci perbuatan yang merompak kesucian minda kurniaan Ilahi. Perdana Menteri sendiri menjaja konsep 1 Malaysia.
Ingin bercakap soal Melayu, kalau mungkin ABO terlupa, manifesto parti apa yang memperjuangkan Negara Kebajikan? Pemerintah mana yang memberikan air percuma kepada sekelian rakyat tanpa mengira parti. Pemerintah mana yang memberikan macam2 subsidi kepada rakyat? Parti apa yang meminta gaji minimum RM 1500 dilaksanakan? Pemerintah apa pula yang berlumba – lumba menaikkan harga minyak, tambang teksi, tambang bas hatta tambang bas sekolah jua. Parti apa yang menyokong kewujudan PPSMI dulu? Parti apa yang menghapuskan imuniti Raja2 Melayu? Parti apa yang menolak hukum2 Islam yang tidak menguntungkan mereka? Parti apa yang tidak mendokongi Perlembangaan Negara? Parti apa yang mengagungkan Mat Rempit? Parti apa yang mendewakan hiburan yang melekakan? Parti apa yang member keizinan membuka pusat hiburan berkiblat arak dan seks bebas?
Sudah 50 tahun merdeka, pemikiran majority Melayu terus – menerus di takuk lama. Melayu terus dengan minda subsidi. Melayu masih lagi percaya dengan bomoh. Tengok sekeliling, remaja Melayu, anak pelajar Melayu terus menerus leka. Yang lelaki di sekolah rendah, dengan basikalnya berangan2 seperti sedang menjadi mat rempit, yang perempuannya dengan make-up, kening nipis, rambut karat berangan2 nak jadi artis kononnya.
Akhbar dan Media Melayu harus menjadi vocal. Jangan terus – menerus memiskinkan minda bangsa kamu sendiri. Sangat berdosa dan hina sekali apabila kamu mengaut keuntungan jutaan Ringgit tetapi kandungan kamu adalah lemah, menjahanamkan bangsa kamu, melekakan bangsa dengan seribu satu macam hiburan, meletak iklan2 keputusan nombor ekor dengan begitu banyak sekali.
Kepada anak jati Manik Urai, apakah dengan pembinaan jambatan maka kamu sudah moden? Dengan pembinaan bangunan pencakar langit sahaja sudah cukup menjadikan kamu maju? Kamu belajar tinggi di menara gading. Cuba renungi kata2 V dalam V For Vendetta, “ THIS COUNTRY NEED MORE THAN A BUILDING, IT NEEDS Hope “. Kemajuan boleh dicapai tak kira siapa perintah. Yang penting, pendapatan dan hak sesebuah negeri itu diberi sama rata, diberi dengan adil tanpa mengira fahaman sempit politik. Bukan bermotifkan dendam.
Pernyataan “Mampukah pemimpin ini mebawa suara anda ke telinga atasan” yang merujuk kepada status YB Manik Urai sekarang ini yang merupakan peniaga ikan Berjaya memang mengecewakan. Kamu jangan terlalu pandang ke langit. Hanya kerana kamu dikurniakan Ilahi sedikit kepandaian sehingga menjejakkan kaki kamu ke menara gading, sudah boleh menjadi tiket untuk kamu memandang rendah keupayaan orang lain.
Tidak semestinya hanya lulusan university sahaja yang mampu membawa suara rakyat. Kita sudah lihat juga ramai di kalangan wakil2 rakyat BN lulusan university, tapi apakah suara rakyat juga sampai? Kalau pun sampai, tetapi dipekakkan telinga dan dikemudian di bakul sampahkan saje suara2 itu.
Kalau dibandingkan Manik Urai dengan daerah tempat gua nih mungkin Muar bernasb baik sedikit sahaja. Muar tidak dikelilingi pokok getah atau kelapa sawit. Muar diwakili oleh seorang peguam muda sekarang ini menjawat jawatan Timbalan Menteri dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tetapi, hakikatnya rakyat Muar tidak kaya raya. Muar masih lagi mempunyai orang miskin. Muar masih lagi mempunyai kampung2 yang ditemani pokok getah dan kelapa sawit. Malahan Muar digelar Bandar pencen. Adakah suara rakyat Muar sampai ke atas?
Entahlaa…sekadar pandangan gua jer
Sekian,
Mansuhkan ISA
Hentikan kezaliman dan Fitnah ke Atas Anwar Ibrahim
1 Malaysia : Rosmah didahulukan, Nazir diutamakan
Let’s Support Anwar Ibrahim For Prime Minister
-Mr. Ash-
Leave A Legacy
Himpunan ahli AIC di Mahkamah Jalan Duta.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) ingin mengajak seluruh ahli untuk turun menunjukkan sokongan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang sekarang berhadapan dengan fitnah licik dan manipulasi undang-undang di perkarangan Mahkamah Jalan Duta bermula daripada hari Jumaat (24 Julai 2009), pukul 8.00 pagisehinggalah perkara ini diberi keadilan yang sewajarnya.
Rakan-rakan ahli AIC digesa mencari ruang dan peluang untuk berada di sana setiap kali perbicaraan. Untuk memudahkan gerakan dan perhimpunan, rakan-rakan AIC diminta menghubungi sekretariat AIC di talian 012-9300745 (Saudara Farhash) untuk maklumat lanjut.
Rakan-rakan AIC dinasihatkan untuk melakukan perkara-perkara berikut semasa di Mahkamah :
- Memakai baju AIC, atau baju bewarna HITAM.
- Sampai awal, selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi.
- Berkumpul di ruang legar Mahkamah dengan rakan-rakan yang lain.
- Mengawal tingkah laku dan tidak termakan dengan provokasi oleh mana-mana pihak.
- Ikut arahan sekretariat.
Rakan-rakan AIC akan berpeluang untuk dibenarkan masuk ke dalam kamar mahkamah. Sila hubungi sekretariat untuk urusan ini. Jadual perjalanan mahkamah akan dikemaskini di laman web AIC dari masa ke semasa.
BANGUN DAN TUNJUKKAN SOKONGAN BAHAWA REFORMASI TIDAK PERNAH MATI!
SPRM – Sanggup Paksa Rakyat Mati

Salam Keadilan untuk semua,
Malam semalam gua dijemput mewakili AMK Cabang Muar untuk menghadiri Himpunan Solidariti Tan Beng Hock, majlis memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor iaitu Mr. Tan Beng Hock. Beliau ditemui mati terjatuh dari tingkat 14, Ibu Pejabat SPRM yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.
Gua menyelar kejadian seperti ini. Walau apa pun sebab kematiannya, Gua menyeru agar SPRM mengambil tanggungjawab penuh diatas tragedy ini. Bagaimana seorang saksi yang sedang disiasat oleh SPRM boleh ditemui mati di kawasan bangunan Pejabat SPRM? Apakah system keselamatan di Pejabat SPRM begitu longgar? Pelbagai persoalan yang perlu dijawab oleh pihak SPRM dan juga Kementerian Dalam Negeri.
Gua memang amat bersimpati dengan keluarga mendiang Tan Beng Hock. Juga turut sama rasa sedih dengan kematiannya. Apa yang gua harapkan agar siasatan menyeluruh termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja dapat dilakukan agar tragedy seperti ini tidak lagi berulang. Dibawah ini gua selitkan petikan gambar2 majlis Himpunan Solidariti Tan Beng Hock yang dianjurkan oleh PAKATAN RAKYAT MUAR di Pusat Aktiviti DAP Bakri, Jalan Sakeh, Muar dan Pusat Aktiviti DAP Bentayan, Jalan Salleh, Muar yang turut dihadiri oleh YB Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Bakri dan YB Gwee, ADUN Bentayan.
Semoga kejadian seperti ini akan membuka mata hati rakyat dan membuka lembaran dimensi baru Malaysia.
Juga dikesempatan ini gua ingin mengucapkan Tahniah kepada Dato’ Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan Malaysia yang dengan berani telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MCA Bakri dan berhijrah menyertai Parti Keadilan Rakyat. Satu keputusan yang cukup bijak dan berani yang bakal menyaksikan perubahan lanskap politik Malaysia. Gua sebagai rakyat Muar mengalu-alukan keputusan penghijrahan ini demi masa depan Muar yang lebih cemerlang.
Sekian,
Yang buruk datang dari gua,
Mansuhkan ISA
Bebaskan Anwar Ibrahim Dari Kezaliman Dan Fitnah
ONE MALAYSIA : Rosmah didahulukan, Nazir diutamakan.
-Mr. Ash-
Leave A Legacy
SU politik exco mati jatuh bangunan SPRM

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.
Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.
Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.
(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)
Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.
Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.
Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.
Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.
Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.
Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.
Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo – sebagai saksi kes – selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.
SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.
Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.
Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.
“(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka,” katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.
“Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya” katanya.
Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.
Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.
Komputer riba Teo dirampas
Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.
SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.
Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).
SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat – Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.
Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.
R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan.
“Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang memuaskan,” katanya.
diambil dari http://www.malaysiakini.com/news/108639


















